Thursday, December 22, 2011

Orang Shahrizat serang Ketua Bahagian UMNO? Perlukah begini?


Isnin, 19 Disember 2011


Tindakan biadap NGO serbu pejabat UMNO Cheras; Shahrizat dituntut berikan penjelasan

MENTERI Pembangunan Wanita, Keluarg dan Masyarakat, Shahrizat Abdul Jalil dituntut menjelaskan motif sebenar kehadiran dua orang pegawainya bersama kumpulan yang mengaku sebagai NGO membuat kekecohan di pejabat UMNO Bahagian Cheras, 15 Disember lalu.

Menurut Timbalan Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Mahadi Haji Abdul Shukor, Shahrizat yang juga Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia perlu bertanggungjawab di atas kejadian yang berlaku.

Beliau berkata, mereka datang disambut dengan baik oleh Ketua UMNO Bahagian, Datuk Wira Syed Ali Alhabshee kononnya untuk menyerahkan memorandum bantahan berhubung isu ‘memikul biawak hidup’ tetapi sebaliknya mereka membuat kecoh dan mengeluarkan maki-hamun dan kata-kata kesat.

“Seluruh warga UMNO Bahagian Cheras amat kesal dengan tindakan sekumpulan yang mendakwa sebagai NGO yang membuat kecoh dan cuba mencederakan Syed Ali,” tegasnya kepada media selepas Mesyuarat Khas Berhubung kejadian 15 Disember, di Pusat Rekreasi Cheras, lewat petang ini (Isnin).

Sementara itu, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian, Datuk Syed Mehdhar Syed Abdullah mengecam keras perbuatan tersebut yang disifatkannya sebagai biadap dan samseng.

“Ahli UMNO Cheras ada maruah dan mereka datang secara samseng, bukan nak berbincang tetapi cuba lakukan sesuatu diluar dugaan. Kita nak tanya Shahrziat, apakah beliau tahu atau tidak kejadian tersebut,” tegasnya.

Ketua Wanita UMNO Bahagian, Datuk Hajah Faridah Abu Hassan pula menyifatkan kejadian 15 Disember itu sebagai peristiwa ‘malang’ kepada Wanita UMNO.

“Saya nak bagitahu Shahrizat, jangan lah peralatkan Wanita UMNO dalam isu NFC. Itu urusan keluarga beliau dan anaknya. Kejadian serbu pejabat Ketua UMNO Bahagian adalah peristiwa yang amat malang kepada Wanita UMNO,” ujarnya.

Pada perjumpaan tergempar lewat petang ini, seluruh kepimpinan UMNO Bahagian Cheras Empat peringkat hadir dan menyatakan sokongan penuh kepada Syed Ali berhubung isu NFC.

Berikut adalah teks penuh kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh Datuk Mahadi Haji Abdul Shukor :
KAMI kepimpinan UMNO Bahagian Cheras Empat peringkat serta seluruh ahli-ahli UMNO Bahagian berasa amat dukacita dengan kejadian pada petang Khamis lalu (15 Disember 2011) yang mana telah berlaku kekecohan di luar dugaan di pejabat UMNO Bahagian Cheras.

Kronologi kejadian itu bermula apabila Pegawai Media kepada Ketua UMNO Bahagian, Sdr. Amran Mamat menyedari kemunculan wartawan akhbar Metro dan Utusan yang hadir ke pejabat UMNO Bahagian bertanyakan ‘bila’ sidang akhbar akan di adakan oleh Datuk Wira Syed Ali Alhabshee berhubung isu ‘memikul biawak hidup’.

Malah wartawan tersebut juga memberitahu bahawa ada satu Memorandum Bantahan akan diserahkan oleh NGO kepada Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Wira Syed Ali berhubung isu tersebut.

Sdr. Amran menjelaskan bahawa Datuk Wira Syed Ali tidak pernah memaklumkan bahawa pada hari itu beliau akan mengadakan sidang akhbar dan tidak tahu langsung berhubung penyerahan memorandum tersebut.

Bagaimanapun Sdr. Amran telah menghubungi Datuk Wira Syed Ali memberitahu bahawa wartawan telah hadir dan NGO akan menyerahkan memorandum kepada beliau. Datuk Wira Syed Ali menjelaskan bahawa beliau sanggup datang ke pejabat dan menunggu kehahadiran mereka.

Sementara itu, salah seorang wakil NGO memberitahu Amran bahawa beliau tidak tahu menahu mengenai niat sebenar kehadiran mereka dan beliau hanya dimaklumkan menerusi e-mail supaya hadir ke pejabat UMNO Bahagian Cheras.

Kira-kira pukul 2.00 petang, wakil NGO dan beberapa wanita yang hadir telah dijemput oleh Datuk Wira Syed Ali untuk mengadakan perbincangan secara terbuka berhubung isu ‘biawak hidup’ di dalam pejabat beliau, yang turut disertai oleh Pegawai Khas Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Encik Azam dan Encik Hariran.

Bagaimanapun, beberapa orang yang dikatakan sebagai NGO telah menyerbu masuk ke pejabat Datuk Wira Syed Ali dan mula membuat kecoh dan memaki-hamun Datuk Wira Syed Ali.

Mereka juga tidak mahu mendengar langsung penjelasan Datuk Wira Syed Ali berhubung kenyataan beliau sebelum itu, malah fotokopi kenyataan akhbar dan blog umnobahagiancheras juga mereka koyak.

Ketegangan mula berlaku apabila salah seorang daripada mereka mula bertindak kurang ajar dengan cuba mencederakan Datuk Wira Syed Ali tetapi dapat dihalang, bagaimanapun butang baju Datuk Wira Syed Ali telah tertanggal kerana ditarik oleh mereka yang tidak dikenali.

Datuk Wira Syed Ali beberapa kali cuba memberikan penjelasan berhubung maksud ‘memikul biawak hidup’ tetapi telah sengaja dihalang oleh perbuatan liar dan maki hamun. Bagaimanapun Datuk Wira Syed Ali tetap menjelaskan bahawa maksud sebenar ‘ seperti memikul biawak hidup’ ditujukan kepada isu NFC dan bukannya kepada peribadi Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil atau pun keluarga beliau.

Menyedari keadaan agak tidak terkawal, salah seorang kakitangan pejabat telah menghubungi polis dan sejurus kemudian dua anggota polis tiba dan akhirnya kumpulan NGO tersebut beredar meninggalkan perkarangan UMNO Bahagian Cheras.

SEHUBUNGAN itu, Kepimpinan UMNO Bahagian Cheras Empat Peringkat dan seluruh ahli-ahli UMNO bahagian melahirkan rasa dukacita yang amat sangat berhubung insiden tersebut kerana segelintir kumpulan yang mendakwa mereka KONONNYA sebagai NGO telah melakukan kekecohan dan bertindak ala-samseng dan ada yang memberitahu bahawa mereka diminta hadir dan tidak tahu-menahu apa tujuan atau sebabnya.

Malah mereka juga tidak mengenalkan diri mereka daripada badan NGO mana yang mereka wakili dan apa kaitannya dengan isu NFC.

Kumpulan tersebut pada mulanya memberitahu pihak media bahawa mereka akan menyerahkan Memorandum Bantahan berhubung kenyataan Datuk Wira Syed Ali berkaitan isu NFC, tetapi malangnya mereka sebenarnya tidak membawa sebarang memorandum seperti yang dimaksudkan.

Sebaliknya mereka mula mengleuarkan kata-kata kesat dan memaki hamun dan enggan membaca salinan fotokopi kenyataan yang cuba diberikan oleh Datuk Wira Syed Ali.

Kepimpinan UMNO Bahagian Cheras amat kesal dan kecewa kerana sikap dan lagak mereka jelas seperti samseng dengan menjerit-jerit di dalam pejabat Datuk Wira Syed Ali Alhabshee.

Datuk Wira Syed Ali Alhabshee yang terkenal dengan sifat terbuka dan bersedia menerima sebarang teguran dan pandangan itu sebaliknya dihujani dengan maki-hamun.

Berdasarkan kepada pengakuan beberapa wakil NGO yang hadir bahawa mereka tidak tahu menahu tujuan sebenar kedatangan mereka ke Cheras, jelas menunjukkan ada DALANG di belakang insiden tersebut.

UMNO Bahagian Cheras juga menolak anggapan sesetengah pihak bahawa pejabat Datuk Wira Syed Ali Alhabshee telah ‘diserang’ oleh mereka yang pro Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, sebaliknya Datuk Wira Syed Ali menerima kedatangan mereka dengan sikap terbuka dan secara baik.

Persoalannya sekarang ini, siapakah sebenarnya DALANG yang MERANCANG kejadian yang berlaku pada 15 Disember 2011 yang menimbulkan kekecohan di pejabat UMNO Bahagian Cheras, dan kami juga mempersoalkan apa sebenarnya motif kehadiran Dua (2) orang Pegawai Khas kepada Datuk Seri Shahrizat pada hari tersebut.

Sehubungan itu, Mesyuarat Khas UMNO Bahagian Cheras Empat Peringkat pada petang ini mengambil KETETAPAN :-

1. UMNO Bahagian Cheras menyokong dan berdiri teguh di belakang kepimpinan dan ketegasan Datuk Wira Syed Ali Alhabshee berhubung isu NFC yang kini menjadi perhatian rakyat.

2. Bertegas dan mendesak pengurusan NFC supaya segala isu yang berbangkit itu diselesaikan secara telus demi memelihara kredibiliti Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta survival UMNO menjelang PRU ke-13 tidak lama lagi.

3. UMNO Bahagian Cheras yang diketuai oleh Datuk Wira Syed Ali Alhabshee tetap menentang apa jua penyalahgunaan kuasa, penyelewengan dan amalan kronisma yang dibimbangi akan menghakis keyakinan rakyat terhadap kerajaan BN/UMNO dan dalam masa yang sama tetap memperjuangkan nasib rakyat terutama diperingkat akar umbi,

4. Melahirkan rasa dukacita dengan penglibatan secara langsung dua orang pegawai Khas kepada Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang turut serta bersama mereka yang mendakwa kononnya sebagai NGO.

5. Kesal dengan inisden tersebut yang dilihat seperti ada dalang yang merancang untuk melakukan kekecohan di pejabat UMNO Bahagian Cheras.

No comments:

Post a Comment