Saturday, April 2, 2011

Mohammad Ali sedia tentang pencabar

Posted on April 1, 2011, Friday


TERIMA KASIH: Mohammad Ali menerima cenderamata daripada Ketua Kaum Merdang Gayam Richard Lait di Kota Samarahan, malam Rabu lalu.
KOTA SAMARAHAN: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Muara Tuang Datuk Seri Mohammad Ali Mahmud bersedia menghadapi manamana pencabarnya dalam Pilihan Raya DUN Sarawak Ke-10 pada 16 April ini.
Beliau yang memenangi kerusi berkenaan untuk Barisan Nasional (BN) atas tiket Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) pada pilihan raya negeri lalu menaruh keyakinan tinggi untuk mempertahankan kerusi itu.
“Saya bersedia menghadapi sesiapa sahaja calon-calon parti pembangkang dalam pilihan raya negeri kali ini, sekiranya saya dicalonkan semula,” katanya berucap pada majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Kampung Merdang Gayam, di sini malam kelmarin (Rabu).
Menurutnya, penduduk di kawasan ini (Muara Tuang) sememangnya ingin melihat pembangunan yang berterusan kepada rakyat, justeru beliau percaya kemenangan besar mampu dicapai.
Mohammad Ali yang juga Ahli Majlis Tertinggi PBB Negeri berkata pihak pembangkang hanya ‘sibuk’ memancing undi pada musim pilihan raya sahaja dan selepas itu mereka menghilang entah ke mana.
Namun katanya, BN tetap akan berjuang bersama-sama rakyat dan sudah pastinya penduduk kampung menikmati segala apa sahaja pembangunan yang dirancang untuk mereka.
“Justeru, saya berharap penduduk kampung terutama di luar bandar jangan termakan janji pembangkang dan mendengar hasutan mereka yang sengaja memporak- perandakan rakyat,” katanya.
Hadir sama pada majlis itu Ketua Kaum Kampung Merdang Gayam Richard Lait, Ketua Ranting PBB Kampung Merdang Gayam Jessi Kintang dan Kaunselor Daily Joseph.

No comments:

Post a Comment