Monday, February 21, 2011

Perang politik di alam maya

 
Dr Jeniri Amir
Menjelang pilihan raya umum ke-13 lalu, Menteri Penerangan Zainuddin Maidin menyifatkan pemblog sebagai penyanyi karaoke yang seronok dengan nyanyian mereka. Sebelumnya, mantan ketua pengarang Utusan Malaysia itu menyifatkan pemblog sebagai goblok dan pemblog terbabit hanya seronok menulis untuk bacaan satu sama lain.
Seperti sesetengah pemimpin Barisan Nasional (BN) waktu itu, Zainuddin memandang ringan kuasa blog dan internet. Beliau masih menganggap bahawa media arus perdana tetap mempunyai kuasa mutlak kepada majoriti rakyat. Menurut beliau, keadaan blog semakin parah apabila disertai oleh golongan penipu, penulis upahan dan desperado yang menulis bukan kerana kebenaran, tetapi untuk kepentingan peribadi. Pada waktu itu, hampir tidak ada hari berlaku ahli politik dan pembesar negara mengecam, mengkritik dan mengutuk pemblog.
“Mungkin ada golongan yang suka dengan nyanyian mereka, tetapi tidak kurang juga yang menolak kerana nyanyian itu disifatkan sebagai sumbang,” kata Ahli Parlimen Merbok itu. Apa yang terjadi kepada beliau, kita semua ketahui. Beliau tewas di tangan pembangkang dalam PRU-13.

Sebahagiannya kerana gagal membaca angin perubahan dan arus bawah dan gagal memahami kuasa internet. Beliau masih lagi terperangkap dalam kepompong media arus perdana, apatah lagi beliau percaya bahawa RTM di bawah jagaannya masih mempunyai pengaruh mutlak seperti pada dekad 1970-an atau awal 1980-an.
Sistem maklumat dan maklum balas yang dikawal parti pemerintah dianggap gagal menyatakan keadaan sebenar. Editor sebagai ‘gatekeeper’ gagal berbuat demikian dan takut dikenakan tindakan jika menyiarkan berita yang disifatkan propembangkang. Atau adakah mereka juga yakin dengan hujah dan pendapat yang dikemukakan oleh pemimpin politik BN waktu itu?
Namun, sesudah BN terpukul teruk dan gagal menguasai dua pertiga majoriti di Dewan Rakyat, mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi mengakui BN tidak menyangka kuasa dan pengaruh internet begitu hebat. Dengan itu, banyak pemimpin mengeluarkan kenyataan bahawa BN akan mengambil langkah segera untuk membetulkan keadaan. Mereka akan menggunakan internet untuk berinteraksi dan berkomunikasi dengan orang ramai.
Persoalannya, sejauh manakah kata-kata itu direalisasikan atau itu tidak lebih daripada kata-kata mereka yang baru tersentak daripada kejutan tsunami? Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengakui hakikat pentingnya beliau berdamping dengan golongan sasar, termasuk muda mudi melalui media baharu seperti blog, Facebook dan Twitter.
Di Sarawak, pemimpin kita juga tidak ketinggalan. Ada daripada mereka sedar akan peranan dan pengaruh internet dalam pilihan raya akan datang. Justeru, mereka membuka Facebook dan blog untuk berinteraksi dengan orang ramai.
Jangan perlekehkan kuasa internet, khususnya dalam kalangan golongan muda. Di negara ini, sekitar 450,000 orang mencecah usia 21 tahun setiap tahun. Berbeza daripada golongan terdahulu, mereka ini menggunakan internet sebagai saluran komunikasi.
Jika tidak percaya, perhatikan bagaimana pendapat yang dilontarkan mereka tentang politik dan ahli politik di Sarawak menjelang pilihan raya negeri akan datang. Jika ahli politik kita membaca persepsi golongan muda tentang mereka, pasti sebahagian mereka akan terkena sakit jantung!
Sesuatu perlu dilakukan oleh pemimpin kita sebelum terlambat. Dengarlah suara hati golongan muda ini, termasuk dengan berinteraksi melalui internet. Memang, ada ahli politik Sarawak yang masih sangsi akan kuasa blog dan internet.
Bagi mereka, mengapa harus dirisaukan jika liputan dan sebaran blog hanya terhad kepada kawasan bandar dan golongan kelas menengah atau terpelajar sahaja, sedangkan sebahagian besar pengundi Sarawak adalah di luar bandar, pedalaman dan persisiran?
Kita perlu berterima kasih kepada internet; jika tidak kita tentu tidak mengetahui apa yang dilakukan oleh sesetengah pemimpin politik kita. Kita tidak akan tahu siapa mendapat apa, bagaimana dan sebanyak mana. Tidak hairanlah jika ada daripada golongan muda yang menyimpan angan-angan untuk menjadi ahli politik. Mereka percaya itulah jalan singkat untuk menjadi kaya!
Landskap politik sudah berubah. Profil pengundi juga sudah berubah. Justeru, strategi komunikasi politik juga perlu berubah. Jika ahli politik masih lagi percaya bahawa akhbar arus perdana hanya perlu menyiarkan hal yang baik-baik tentang kerajaan dan mendedahkan hal yang buruk-buruk tentang pembangkang, mereka sebenarnya tersilap besar.
Pendekatan lama, iaitu serang habis-habis pembangkang dan tonjolkan seluas mungkin tentang kebaikan kerajaan sudah tidak lagi relevan. Percayalah, jika media mengambil pendekatan sedemikian, kredibiliti mereka akan terjejas.
Orang ramai akan meminggirkan media sedemikian, kerana hakikatnya kita perlu sedar, pilihan berada di tangan pembaca atau penonton dalam era ledakan maklumat ini. Jika mereka fikir TV, radio atau akhbar itu terlalu memihak atau sarat dengan propaganda, mereka dapat sahaja memilih untuk menkuar saluran atau tidak membeli dan membaca akhbar berkenaan. Mereka dapat sahaja membaca portal berita yang bersifat terbuka, berani dan lantang, dan tidak menyembunyikan realiti.
Kekurangan peluang politik di alam nyata melalui media arus perdana menyebabkan internet muncul sebagai wadah alternatif untuk menggerakkan politik. Internet muncul sebagai alat jelata dan pencetus ruang awam, sekali gus membuka ruang demokrasi. Sesiapa sahaja berhak untuk meneroka alam siber.
Demokrasi digital melalui alam maya mencelikkan pengundi atau meningkatkan kesedaran politik tentang peranan mereka dalam negara demokrasi. Internet pasti memainkan peranan lebih penting dalam pilihan raya akan datang. Melalui media inilah pembangkang dapat menyalurkan dasar, ideologi dan perjuangan mereka, serta aspirasi dan rasa kecewa rakyat terhadap kerajaan.
Media yang bebas daripada cengkaman hegemoni yang diinstitusikan dengan pelbagai akta kawalan media itu berjuang untuk melaporkan kebenaran dan berita yang cuba disembunyikan media propemerintah. Media baharu itu mempunyai kelebihan menyebarkan maklumat tanpa had, tanpa perlu risau akan tangan besi pemerintah, dengan kos minimum.
Percayalah, perang di alam maya pasti lebih hebat ketika kewibawaan media arus perdana yang prokerajaan diragui kerana sikapnya yang terlalu memihak. Dalam dunia hari ini, kita tidak lagi dapat hanya bergantung kepada sebuah akhbar atau satu saluran TV.
Saya perlu membaca sepuluh akhbar setiap hari, termasuk akhbar alternatif untuk memahami hujah kedua-dua pihak, iaitu BN dan Pakatan Rakyat. Jika kita hanya membaca sama ada media yang terlalu prokerajaan atau terlalu propembangkang, besar kemungkinan orientasi pemikiran kita akan condong ke arah tertentu.
Justeru, amat penting kita membaca media arus perdana dan media alternatif sekali gus. Amat menarik melihat bagaimana sesuatu isu itu dilaporkan mengikut perspektif masing-masing sesuai dengan agenda politik mereka. Pembaca atau penonton perlu menggunakan kebijaksanaan untuk menilai kebenaran laporan.
*Penulis ialah pensyarah kanan di Universiti Malaysia Sarawak.

No comments:

Post a Comment