Sunday, June 13, 2010

Mesyuarat UMNO cawangan dihalang guna dewan



MOHAMAD Rozi Yaacob berucap pada Mesyuarat UMNO Cawangan Guar Kepah, Kepala Batas, Pulau Pinang, kelmarin.


KEPALA BATAS 12 Jun - Kira-kira 100 ahli UMNO Cawangan Guar Kepah di sini terpaksa mengadakan mesyuarat dalam keadaan bersesak-sesak di sebuah bilik operasi Rela selepas dihalang menggunakan sebuah dewan di kampung itu.

Semuanya gara-gara tindakan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Negeri (JKKKN) yang menghalang mereka mengadakan persidangan tersebut di Dewan Banjir Guar Kepah di sini.

Tinjauan Mingguan Malaysia mendapati, mesyuarat kira-kira pukul 6 petang semalam itu tetap diteruskan walaupun sebahagian ahlinya terpaksa berdiri ekoran bilik operasi tersebut yang sempit selain bilangan kerusi tidak mencukupi.

Pengerusi UMNO Cawangan Guar Kepah, Mohamad Rozi Yaacob berkata, pihaknya terpaksa memohon ihsan pihak Rela pada saat-saat akhir untuk 'menumpang' bilik operasi pasukan beruniform itu yang terletak kira-kira 300 meter dari dewan berkenaan.

Menurut beliau, pihaknya ada menghantar surat permohonan kepada pihak JKKKN kampung itu pada 1 Jun lalu dan dimaklumkan bahawa mereka boleh menggunakan dewan tersebut hari ini.

"Bagaimanapun saya dimaklumkan pada saat-saat akhir bahawa kami tidak boleh menggunakan dewan tersebut dengan alasan surat (permohonan) yang ditulis tidak ditujukan terus kepada Pengerusi JKKKN sendiri.

"Kami juga diberitahu bahawa kami tidak boleh bermesyuarat di dewan itu kerana UMNO cawangan dikatakan menggunakan dewan tersebut tanpa kebenaran ketika menjalani program Juara Rakyat baru-baru ini," katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat itu semalam.

Mohamad Rozi berkata, Ketua Wanita UMNO cawangan tersebut juga sudah mengadakan perbincangan dengan salah seorang pemimpin JKKKN berkenaan bagi memaklumkan permohonan menggunakan dewan tersebut selain turut menghantar surat.

"Alasan-alasan itu sangat tidak wajar apatah lagi program Juara Rakyat yang diadakan sebelum ini memberi manfaat kepada semua penduduk kampung tanpa mengira fahaman politik," tambahnya.

Mohamad Rozi berkata, isu penggunaan dewan tersebut bukan baru kerana sudah banyak aduan daripada penduduk kampung yang tidak dibenarkan menggunakan dewan atau kemudahan yang ada di dalamnya.

"Ada penduduk yang ingin menggunakan kemudahan dewan bagi urusan majlis perkahwinan tetapi tidak dibenarkan pada saat-saat akhir tanpa alasan munasabah.

"Bagi saya, ini sudah keterlaluan kerana kalau semua perkara mahu dipolitikkan, ia akan memberi tekanan kepada penduduk sedangkan dewan ini dibina untuk kegunaan masyarakat," jelasnya.

No comments:

Post a Comment